Wednesday, July 16, 2008

Program Konvoi Bermotosikal 'Open Day UNISEL'










Program Konvoi Bermotosikal berlangsung pada 26-27 Jun 2008 bersempena 'Open Day UNISEL' . Program konvoi ini bertujuan mempromosikan UNISEL di sekitar Bandaraya Shah Alam dan penduduk sekitarnya. Program konvoi ini disertai seramai 40 orang pelajar UNISEL dan 35 buah motosikal dan sebuah kereta pengiring.

Kami bagi pihak seluruh kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUNISEL) dengan sukacitanya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada peserta-peserta konvoi yang sudi meluangkan masa bersama-sama berkonvoi pada hari tersebut.

Diharapkan program-program seumpamanya akan terus mendapat sokongan dan kerjasama daripada anda pada masa akan datang.

Sekian Terima Kasih.

Hadiah Anak Masuk Universiti

HADIAH ANAK MASUK UNIVERSITI

Q : Bagaimana saya boleh memohon Hadiah Pengajian IPT yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor ini?
A : Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan Rasmi Anak Masuk Universiti (BPSM/HPIPT/2008) yang boleh diperolehi daripada sumber-sumber seperti berikut:
(i) Kaunter Cawangan Biasiswa & Pinjaman Pelajaran di alamat berikut:
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Tingkat 3, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
40000 Shah Alam
(ii) Memuat turun (download) borang permohonan melalui laman web rasmi Negeri Selangor, iaitu:
www.selangor.gov.my; (Klik Untuk Muat Turun Borang HPIPT)
(iii) Pejabat Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar/ Pusat Pemajuan Pelajar di IPTA masing-masing;
(iv) Pejabat Daerah/ Tanah dan Pejabat Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Selangor.

Q : Apakah syarat-syarat kelayakan bagi permohonan Hadiah Pengajian IPT ini?
A : (i) Pemohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja.
(ii) Pemohon juga merupakan Rakyat D.Y.M.M. Sultan Selangor yang memenuhi kriteria seperti berikut:
• Pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
• Ibu atau Bapa pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
• Pemohon lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974.
(iii) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk memasuki Tahun Pertama (Semester Pertama) mulai Julai 2008 sahaja.
(iv) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa (full-time courses) di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjanamuda dan Diploma sahaja. (Matrikulasi/ Kursus Persediaan/ Tahun Asas/ A-Level/ Kursus Profesional seperti ACCA serta pengajian secara jarak jauh (PJJ)/ luar kampus (PLK) adalah tidak layak memohon).
(v) Pemohon telahpun mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi pengajian.
(vi) Pendapatan isi rumah Ibu Bapa/ Penjaga pemohon berjumlah RM1,500 ke bawah.

Q : Saya lahir di Negeri Selangor, tetapi ibu bapa saya tidak lahir di Negeri Selangor. Adakah saya layak memohon?
A : Layak berdasarkan kriteria: Pemohon lahir di Negeri Selangor.

Q : Saya lahir di Negeri Kelantan, tetapi Ibu saya lahir di Selangor. Adakah saya layak memohon?
A : Layak berdasarkan kriteria: Ibu atau bapa pemohon lahir di Negeri Selangor.

Q : Saya telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di IPT Swasta (IPTS), iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP). Adakah IPT saya tersenarai bagi pemberian hadiah ini?
Layak sekiranya pemohon telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjanamuda atau Diploma.

Q : Saya sedang mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Masters of Business Administration) Tahun Pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia secara sepenuh masa (full time). Adakah saya layak?
A : Tidak layak kerana syarat-syarat kelayakan adalah untuk pemohon yang mengikuti pengajian di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjanamuda sahaja.

Q : Saya sedang mengikuti pengajian A-Level sebagai persediaan bagi pengajian ke luar negara.
A : Pengajian di peringkat Matrikulasi/ Kursus Persediaan/ Tahun Asas/ A-Level/ Kursus Profesional seperti ACCA serta pengajian secara jarak jauh (PJJ)/ luar kampus (PLK) adalah tidak layak memohon. Walau bagaimanapun, pemohon hanya layak dipertimbangkan setelah mendaftarkan diri bagi mengikuti pengajian peringkat Diploma ataupun Ijazah Sarjanamuda pada tahun berikutnya.

Q : Saya kini telah bekerja dan pada masa yang sama sedang mengikuti pengajian luar kampus (PLK) peringkat Diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Pengurusan dan Teknologi Pejabat.
A : Tidak layak kerana syarat-syarat kelayakan adalah untuk pemohon yang mengikuti pengajian secara sepenuh masa (full time) sahaja.

Q : Saya merupakan pelajar Tahun Akhir (semester ke-lapan) di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan.
A : Tidak layak kerana syarat-syarat kelayakan adalah untuk pemohon yang mendaftarkan diri untuk Tahun Pertama (semester pertama) bagi sesi pengajian mulai Julai 2008 sahaja.

Q : Saya telah ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjanamuda di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) tetapi belum mendaftarkan diri.
A : Pemohon hanya boleh memohon setelah mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi pengajian.

Q : Saya telah ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Johor, tetapi terpaksa menangguhkan pendaftaran pada tahun 2008 atas sebab kesihatan.
A : Pemohon hanya boleh memohon setelah mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi pengajian pada tahun berikutnya.

Q : Pendapatan Bapa saya berjumlah RM1,250.00 manakala Ibu saya adalah suri rumah.
A : Layak berdasarkan pendapatan isi rumah Ibu/ Bapa berjumlah RM1,500.00 ke bawah.

Q : Ibu dan Bapa saya bekerja, tetapi jumlah pendapatan mereka adalah kurang daripada RM1,500.00.
A : Layak berdasarkan pendapatan isi rumah Ibu/ Bapa berjumlah RM1,500.00 ke bawah.

Q : Saya dipelihara oleh Bapa Saudara saya sejak berumur 10 tahun memandangkan Ibu dan Bapa telah berpisah dan saya mempunyai masalah untuk mendapatkan maklumat pendapatan Ibu/ Bapa saya.
A : Pendapatan yang akan diambilkira adalah pendapatan Penjaga, iaitu Bapa Saudara pemohon.


Q : Apakah dokumen-dokumen lampiran yang mesti dikemukakan untuk permohonan hadiah ini?
A : Pemohon hendaklah mengisi Borang Permohonan Rasmi Hadiah Pengajian IPT (RM1,000) (BPSM/HPIPT/2008) dengan menyertakan dokumen-dokumen lampiran seperti berikut:
(i) Salinan Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan pemohon
(ii) Salinan Kad Pengenalan Ibu/ Bapa pemohon;
(iii) Surat Tawaran Kemasukan daripada IPT;
(iv) Pengesahan pendaftaran diri pelajar oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar/ Hal Ehwal Akademik/ Pusat Pemajuan Pelajar/ Bendahari Institusi/ Dekan Fakulti/ Ketua Pusat;
(v) Salinan Penyata Pendapatan/ Penyata KWSP/ Slip Gaji/ Perakuan Pendapatan (surat perakuan daripada ADUN/ Penghulu/ Pengerusi JKKK/ Ketua Kampung bagi yang bekerja sendiri) Ibu Bapa/ Penjaga pemohon; dan
(vi) Salinan muka depan Buku Akaun Bank pemohon.

Q : Saya telah mengisi borang permohonan dengan lengkap berserta dokumen lampiran yang dikehendaki. Di mana saya perlu menyerahkan borang permohonan ini?
A : Borang permohonan yang telah lengkap diisi boleh dikemukakan ke Kaunter Cawangan Biasiswa & Pinjaman Pelajaran di alamat berikut:
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Cawangan Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran
Tingkat 3, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
40000 Shah Alam

Q : Adakah pemohon diberi pilihan untuk menerima pembayaran RM1,000 tersebut?
A : Bayaran hadiah berjumlah RM1,000 akan dibuat menerusi dua (2) kaedah pembayaran mengikut pilihan pemohon, iaitu:
(i) Pengkreditan terus ke akaun pemohon; atau
(ii) Melalui cek atas nama pemohon.

Q : Berapa lama tempoh masa yang perlu saya tunggu untuk menerima pembayaran RM1,000?
A : Bayaran akan dibuat dalam tempoh dua (2) minggu (10 hari bekerja) selepas Borang Hadiah Pengajian IPT yang lengkap diterima oleh pihak Urusetia.

Q : Sekiranya saya mempunyai sebarang masalah/ kemusykilan berkenaan permohonan hadiah ini, siapakah yang perlu saya hubungi untuk mendapatkan bantuan/ penerangan?
A : Untuk sebarang kemusykilan atau pertanyaan, sila hubungi:
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Cawangan Biasiswa & Pinjaman Pelajaran
Tingkat 3, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
40503 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-5544 7480/ 7481/ 7482
Faks: 03-5510 4095/ 5513 5564

Q. Bilakah tarikh pelaksanaannya?
A : Julai 2008

Sunday, July 6, 2008

SALURAN ADUAN BERKAITAN PENDIDIKAN TINGGI SWASTA

Kebelakangan ini Jabatan Pengajian Tinggi telah banyak menerima banyak aduan dari pelajar-pelajar IPTS khususnya yang dipanjangkan ke Jabatan ini oleh Bahagian-Bahagian/ Jabatan/ Agensi kerajaan selain Kementerian Pengajian Tinggi

Bagi mengurangkan karenah birokrasi serta memastikan aduan-aduan tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak lain bagi tujuan sensasi atau publisiti sekaligus menaikkan imej Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi mengalu-alukan agar aduan-aduan dihantar terus ke Jabatan ini mengikut saluran yang ditetapkan. Bagi tujuan tersebut, Jabatan ini telah menyediakan saluran mengemukakan aduan dengan mengambilkira tatacara seperti yang dinyatakan dalam brosur 'Tatacara Mengemukakan Aduan Ke Sektor Pengurusan IPTS

http://www.mohe.gov.my/webkpt_v2/info_IPTS.php

Thursday, July 3, 2008

Program Industrial Career Exposition - ICE 2008


Terima kasih dan syabas di ucapkan kepada AJK-AJK yang turut membantu kami dalam menjayakan program ICE 2008 ini. Terutama nya AJK-AJK dari Kampus Bestari Jaya dan Kampus Shah Alam yang bersama-sama menjayakannya.

Kami mewakili keseluruhan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar MPPUNISEL mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung bagi menjayakan program ICE 2008 ini. Diharapkan program-program seumpanya akn terus mendapat sokongan daripada anda semua pada masa akan datang.

sekian..

Wajarkah Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU dimansuhkan???


Buletin Utama jam 8 malam ( 25 . 03 . 08 ) di TV 3 telah mengemukakan topik : AUKU wajar di mansuhkan ! Setuju atau Tidak ? untuk dipilih oleh penontonnya.
Akhir sessi Buletin , seperti biasa disiarkan keputusan undian atau pilihan penonton dan jelas apa yang muktamad ialah tertera keputusannya : 91% SETUJU AUKU di mansuhkan !
DPP Pusat sejak awal telah menegaskan pendirian bahawa AUKU amat wajar dimansuhkan justeru ia bagaikan penjara besi yang memagari mahasiswa selama ini.


AUKU telah membendung jiwa besar mahasiswa
AUKU telah meluntur semangat waja mahasiswa
AUKU telah memenjara bakat tinggi mahasiswa
AUKU telah memandulkan daya intelektual mahasiswa.


AUKU menjadi igauan ngeri sejak sekian lama kepada mahasiswa apabila mereka tidak lagi gah setara potensi ilmu yang dimiliki . Mereka hanya mampu berlegar di dalam kepungan 4 penjuru tembok besar kampus universiti .
Angkara AUKU , suara mahasiswa tidak lagi bergema di tengah rintihan rakyat tertindas untuk membela nasib mereka .
Ilmu , daya fikir , semangat dan keperibadian yang mereka bina di puncak menara gading tidak lagi mewakili masyarakat untuk diperjuangkan hak dan dipertahankan maruah mereka .


AUKU menyaksikan lahirnya mahasiswa yang lemah segala saraf kepekaan mereka terhadap isu yang menimpa rakyat dan negara . Bisu dan kelu terhadap kerakusan golongan mustakbirin menindas mustadhafin . Mengangguk dan mengiyakan segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah sang penguasa.
Tidak hairan apabila negara ketandusan pemimpin bertaraf nasional dan berwibawa pada hari ini untuk diketengahkan guna menerajui kepimpinan negara.


Realiti ini sangat dirasai apabila dilihat kepada menteri yang menganggotai kabinet pemerintahan negara kita pada hari ini dan sebelumnya , rata - rata terdiri dikalangan mereka yang korup , penuh skandal dan berpalit dengan pelbagai salah laku yang rendah moral dan tiada wibawa .


Begitulah juga , lahirnya penjawat awam yang tidak amanah terhadap jawatan dan tidak pula mesra terhadap masyarakat awam .


Lebih malang apabila negara hanya mampu menyaksikan bercambahnya mahasiswa dan graduan universiti yang tidak memiliki nilai diri dan tanda moral yang tinggi . Sehingga mereka mampu terjebak dalam pengaruh gejala sosial yang negatif dan gaya hidup yang rosak.


DPP Pusat melihat arus perubahan yang disebut "tsunami politik" yang melanda dan sekaligus memusnahkan landskap politik tanahair sebelum ini sewajarnya dilihat serius oleh golongan mahasiswa untuk mereka juga bangkit membebaskan diri dari belenggu AUKU yang kian usang .


Sangat tidak munasabah apabila rakyat dan masyarakat awam sedar serta insaf terhadap tuntutan perubahan setelah sekian lama mereka memendam derita , tiba - tiba mahasiswa masih termanggu - manggu kepanikan melihat gelora "tsunami" .
Masih kelu lidah untuk bersuara , masih kaku anggota untuk bertindak , masih tepu idea untuk mengolah , masih lesu semangat untuk berjuang dan masih takut jiwa untuk merdeka .


Segalanya angkara AUKU yang memasung mahasiswa sejak sekian lama sehingga segalanya lumpuh.
Apalah gunanya penubuhan universiti awam dan swasta yang ditubuh dan dibina di sana - sini malah tumbuhnya bagai cendawan selepas hujan , kiranya penubuhan universiti tersebut hanyalah seperti penjara besar yang akan terus mengekang pertumbuhan daya kepimpinan dan intelektual mahasiswa .


AUKU hanyalah penghalang utama untuk menghasilkan kelahiran mahasiswa yang tuntas dan tajam berfikir , mahasiswa yang berani dan besar jiwa , mahasiswa yang lepas dan cerdas bertindak , mahasiswa yang berwibawa dan karismatik .