Thursday, July 3, 2008

Wajarkah Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU dimansuhkan???


Buletin Utama jam 8 malam ( 25 . 03 . 08 ) di TV 3 telah mengemukakan topik : AUKU wajar di mansuhkan ! Setuju atau Tidak ? untuk dipilih oleh penontonnya.
Akhir sessi Buletin , seperti biasa disiarkan keputusan undian atau pilihan penonton dan jelas apa yang muktamad ialah tertera keputusannya : 91% SETUJU AUKU di mansuhkan !
DPP Pusat sejak awal telah menegaskan pendirian bahawa AUKU amat wajar dimansuhkan justeru ia bagaikan penjara besi yang memagari mahasiswa selama ini.


AUKU telah membendung jiwa besar mahasiswa
AUKU telah meluntur semangat waja mahasiswa
AUKU telah memenjara bakat tinggi mahasiswa
AUKU telah memandulkan daya intelektual mahasiswa.


AUKU menjadi igauan ngeri sejak sekian lama kepada mahasiswa apabila mereka tidak lagi gah setara potensi ilmu yang dimiliki . Mereka hanya mampu berlegar di dalam kepungan 4 penjuru tembok besar kampus universiti .
Angkara AUKU , suara mahasiswa tidak lagi bergema di tengah rintihan rakyat tertindas untuk membela nasib mereka .
Ilmu , daya fikir , semangat dan keperibadian yang mereka bina di puncak menara gading tidak lagi mewakili masyarakat untuk diperjuangkan hak dan dipertahankan maruah mereka .


AUKU menyaksikan lahirnya mahasiswa yang lemah segala saraf kepekaan mereka terhadap isu yang menimpa rakyat dan negara . Bisu dan kelu terhadap kerakusan golongan mustakbirin menindas mustadhafin . Mengangguk dan mengiyakan segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah sang penguasa.
Tidak hairan apabila negara ketandusan pemimpin bertaraf nasional dan berwibawa pada hari ini untuk diketengahkan guna menerajui kepimpinan negara.


Realiti ini sangat dirasai apabila dilihat kepada menteri yang menganggotai kabinet pemerintahan negara kita pada hari ini dan sebelumnya , rata - rata terdiri dikalangan mereka yang korup , penuh skandal dan berpalit dengan pelbagai salah laku yang rendah moral dan tiada wibawa .


Begitulah juga , lahirnya penjawat awam yang tidak amanah terhadap jawatan dan tidak pula mesra terhadap masyarakat awam .


Lebih malang apabila negara hanya mampu menyaksikan bercambahnya mahasiswa dan graduan universiti yang tidak memiliki nilai diri dan tanda moral yang tinggi . Sehingga mereka mampu terjebak dalam pengaruh gejala sosial yang negatif dan gaya hidup yang rosak.


DPP Pusat melihat arus perubahan yang disebut "tsunami politik" yang melanda dan sekaligus memusnahkan landskap politik tanahair sebelum ini sewajarnya dilihat serius oleh golongan mahasiswa untuk mereka juga bangkit membebaskan diri dari belenggu AUKU yang kian usang .


Sangat tidak munasabah apabila rakyat dan masyarakat awam sedar serta insaf terhadap tuntutan perubahan setelah sekian lama mereka memendam derita , tiba - tiba mahasiswa masih termanggu - manggu kepanikan melihat gelora "tsunami" .
Masih kelu lidah untuk bersuara , masih kaku anggota untuk bertindak , masih tepu idea untuk mengolah , masih lesu semangat untuk berjuang dan masih takut jiwa untuk merdeka .


Segalanya angkara AUKU yang memasung mahasiswa sejak sekian lama sehingga segalanya lumpuh.
Apalah gunanya penubuhan universiti awam dan swasta yang ditubuh dan dibina di sana - sini malah tumbuhnya bagai cendawan selepas hujan , kiranya penubuhan universiti tersebut hanyalah seperti penjara besar yang akan terus mengekang pertumbuhan daya kepimpinan dan intelektual mahasiswa .


AUKU hanyalah penghalang utama untuk menghasilkan kelahiran mahasiswa yang tuntas dan tajam berfikir , mahasiswa yang berani dan besar jiwa , mahasiswa yang lepas dan cerdas bertindak , mahasiswa yang berwibawa dan karismatik .

1 comments:

nobody said...

apa itu AUKU?